
13 Sep
Iftar dan Qiam Akhawat PEMBINA

Sebahagian daripada yang hadir...
Sepuluh malam terakhir adalah antara malam yang dinanti-nantikan oleh sesiapa pun yang tahu akan berkat dan rahmat yang ada dalam bulan Ramadhan. Menyedari akan hakikat itu, barisan akhawat PEMBINA Kedah telah berjaya menganjurkan majlis iftar dan Qiamullail pada 10 September bersamaan 20 Ramadhan. Majlis yang ringkas dan singkat tapi bermanfaat itu telah berlangsung di Tadika Nursyifa cawangan Changlun yang disertai oleh pelajar-pelajar wanita Universiti Utara Malaysia.
Peluang yang diberikan, telah dimanfaatkan sebaik mungkin dengan slot-slot yang telah disusun kemas. Majlis bermula dengan slot tadarus al-Quran sekitar jam 6.30 petang, diikuti dengan majlis berbuka puasa serta solat maghrib, dan isyak berjemaah.
Seusai menunaikan solat teraweh, semua yang hadir dibuka minda dengan slot diskusi yang bertajuk ‘Antara Ijazah dan Risalah’. Pengisian interaksi dua hala ini telah memberi reaksi yang positif di kalangan mahasiswa yang hadir. Diskusi yang berlangsung telah memberi kejelasan serta kefahaman tentang tanggungjawab seorang mahasiswa antara mendapatkan segulung ijazah dan tanggungjawab memegang risalah. Kupasan maksud ‘risalah’ telah membuka minda mereka yang hadir berkenaan tanggungjawab seorang mahasiswa yang bukan sahaja menjejaki lantai universiti semata-mata untuk menuntut ilmu lantas mendapatkan segulung ijazah, tetapi perlu menyedari tentang tanggungjawab bersama-sama menyeru ke arah kebaikan dan mencegah keburukan lantaran segala kemungkaran yang berlaku dewasa ini banyak melibatkan belia seusia mahasiswa.
Majlis diteruskan lagi dengan slot taaruf dan kemudiannya diikuti dengan tadarus. Keesokkannya, sekitar jam 4 pagi, Qiamullail berjemaah berlangsung seperti yang dirancang. Selepas menjamu selera dengan memenuhi tuntutan bersahur, majlis disempurnakan lagi dengan solat Subuh berjemaah serta diiringi bacaan mathurat. Kemudian, tazkirah subuh yang bertajuk ‘Keistimewaan 10 Malam Terakhir’ disampaikan bagi menyemarakkan lagi semangat mereka yang hadir untuk terus beribadat lantas mengutip sebanyak mungkin peluang yang ada di bulan Ramadhan. Program bersurai sekitar jam 8 pagi.
Melihat kepada reaksi serta pandangan mereka yang hadir, objektif serta matlamat yang digariskan iaitu untuk mengeratkan ukhwah, menyemarakkan semangat beribadah serta menanam kefahaman tentang tanggungjawab seorang mahasiswa telah tercapai. Alhamdulillah, semoga semua yang hadir dapat mengutip manfaat yang ada sepanjang program ini. insyaAllah.
22 Aug
‘Di Ambang Ramadhan’-Program PEMBINA Perlis: Memberi Sambil Menerima.

khusyuk...
Memberi sambil menerima. Itulah ungkapan yang kami rasakan sesuai untuk mengambarkan kesan yang kami perolehi daripada menghadiri Kursus Pra Ramadhan IPT yang dikelolakan oleh penggerak PEMBINA Perlis. Rata-rata diantara kami yang diminta khidmat bakti sebagai fasilitator program berkenaan berpuas hati dan ada yang menyatakan seolah-olah pergi bukan sebagai fasilitator tetapi menjadi salah seorang peserta. Peluang yang diberikan kepada kami secara tidak langsung melayakkan kami duduk bersama para peserta yang hadir lantas mengutip sebanyak mungkin input yang disampaikan. Bagai memberi khidmat sambil menerima manfaat.
‘Di Ambang Ramadhan’, adalah program yang telah dijayakan oleh PEMBINA Perlis dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri Perlis bertempat di Bukit Ayer, Kayangan Inn Resort. Program yang berlangsung selama lebih kurang 24 jam itu, bermula pada petang jumaat, 14 Ogos sehingga petang keesokannya, 15 Ogos. Antara objektif yang ingin dicapai daripada program ini adalah untuk menghidupkan budaya Ramadhan yang cemerlang serta menyuntik semangat kesedaran agar bersedia menghadapi Ramadhan supaya tidak menjadi antara insan-insan yang ketinggalan dalam mengutip manfaat di bulan yang mulia nanti. Selain itu, antara perkara lain yang ingin diterapkan adalah untuk menjelaskan amalan-amalan yang lebih afdhal serta kekeliruan terhadap amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat setiap kali menghadapi hari-hari di bulan Ramadhan. Memandangkan sasaran kursus ini adalah pelajar IPT, program ini juga berobjektifkan untuk memberi idea dan input buat para belia yang hadir supaya dapat mengaplikasikan sepenuhnya apa yang mereka perolehi untuk diri dan menyemarakkan lagi semangat beribadah di IPT masing-masing.
Bersesuaian dengan tajuk dan objektif program, pengisian dan slot-slot diisi padat dengan penyampaian berkisar tentang bulan Ramadhan. Pengisian pertama program dimulakan dengan penyampaian daripada Ustaz Faisol, ahli jawatankuasa penggerak ISMA Kedah yang bertajuk ‘Merindui Ramadhan’. Kemudian diikuti oleh slot kedua yang mengungkai rahsia dan kaitan Al-Quran melalui pengisian yang tajuk ‘ Ramadhan dan Al-Quran’ yang disampaikan oleh Dr. Ridzuan bin Ahmad, Pensyarah Institusi Perguruan sultan Abdul Halim (IPSAH) Kedah.Keesokannya, seusai qiamullai berjemaah dan solat subuh, peserta ‘membasahkan jiwa’ dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Yahaya bin Nayan, Guru di SMK(A) Arau, Perlis. Slot berikutnya peserta disegarkan kembali semangat dengan meneliti kemenangan dunia dan akhirat buat mereka yang memperolehi keberkatan Ramadhan melalui penyampaian Dr. Zulkifli Yusof, Doktor Pakar di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah yang bertajuk ‘ Ramadhan dan Kemenangan Islam’. Manakala slot terakhir disampaikan oleh Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Sattar dengan penyampaian berkisar tentang amalan-amalan semasa Ramadhan.Seterusnya bagi melerai kekeliruan, mengungkai idea, dan menyingkap tahap kefahaman peserta, slot LDK telah dilaksanakan, dan berlangsung selama lebih kurang satu jam setengah yang merangkumi penyampaian setiap kumpulan dengan begitu semangat.

Atas kelangsungan dan kejayaan program yang cukup bermanfaat, sekalung tahniah kepada penggerak PEMBINA Perlis atas usaha menjayakannya. Semoga apa yang telah digariskan sebagai objektif yang ingin diperolehi, dapat dicapai sekaligus memperkenalkan PEMBINA kepada khalayak umum. Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kerana memberi peluang kepada kami, penggerak PEMBINA kedah berkhidmat bakti sebagai fasilitator program. Semoga apa yang diperolehi akan membawa kita lebih bersedia ke Madrasah Ramadhan yang telahpun tiba dan melalui hari-hari dengan penuh rasa ketaatan dan ketakwaan.InsyAllah.
oleh: Setiausaha PEMBINA Kedah
19 Aug
MABIT: Singkat, tetapi padat dengan pengisian
Pada 23 dan 24 Julai yang lepas Pembina Kedah telah menganjurkan Malam Bina Iman dan Takwa atau singkatannya (MABIT) yang bertempat di Masjid Al-Muttaqin, Jitra, Kedah. Program yang julung kali diadakan itu berjaya mengumpulkan peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah antaranya SBPI Kubang Pasu dan Maktab Mahmud Alor Setar. Juga tidak ketinggalan adalah segelintir mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia.

Slot pertama bermula pada jam 10.00 malam dengan penyampaian oleh Dr. Zulkifli Yusof bertajuk “Suasana Umat Islam Hari Ini dan Persiapan Para Belia”. Penyampaian dan kupasan menarik yang menyentuh statistik-statistik jenayah yang dilakukan belia Islam dan juga kisah keperibadian para sahabat terdahulu menyebabkan para peserta yang hadir tidak berganjak dari mendengar. Penyampaian berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

Tadarus Al-Quran mengisi agenda seterusnya apabila peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Bacaan tadarus sebanyak 1 juzuk menjadi sasaran para peserta pada malam tersebut. Tadarus ini diharapkan menjadi medan latihan bagi menempuhi Ramadhan yang tidak lama lagi akan menjelma.
Setelah setengah jam bertadarus, tibalah masa para peserta mengumpul tenaga untuk berqiamullail pada sebelah pagi esoknya. Walaupun berperang dengan makhluk serangga kecil bernama nyamuk ketika tidur, itu tidak sama sekali menjadi batu penghalang para peserta untuk bangun pada jam 3.30 pagi menyiapkan diri untuk qiamullail.
Tepat jam 4.00 pagi para peserta menunaikan solat-solat sunat secara bersendirian terlebih dahulu sebelum secara berjemaah pada 4.30 pagi. Qiamullail ini diimamkan oleh saudara Nu’man Imam yang merupakan tahfiz yang diundang khas untuk program ini. Qiamullail selesai pada jam 5.30 pagi. Pada jam 5.50 pagi azan Subuh berkumandang dan setelah selesai Solat Subuh berjemaah, tazkirah Subuh telah disampaikan oleh pihak masjid sehingga jam 7.15 pagi.
Pengisian seterusnya ialah bacaan ma’thurat beramai-ramai. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan ucapan ringkas oleh Presiden Pembina Kedah iaitu Akh Hisham Mohd Sharif dan Imam Masjid Al-Muttaqin iaitu Uztaz Azizan. Di antara isi ucapan Akh Hisham yang mewakili Pembina Kedah ialah ucapan penghargaan kepada pihak Masjid Al-Muttaqin di atas kesudian untuk bersama-sama dalam menganjurkan Malam Bina Iman & Takwa(MABIT) pada kali ini. Tidak lupa juga penghargaan untuk para peserta yang telah mengambil bahagian pada MABIT kali ini. Tuan Imam yakni Ustaz Azizan juga berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Pembina Kedah dan berharap program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dengan lebih baik.
Para peserta seterusnya menikmati sarapan pagi nasi lemak yang disediakan oleh pihak masjid dan santapan kebab utara panas yang telah ditempah dari usahawan muda yang kian melonjak namanya di sekitar Jitra iaitu Akh Fahmi dan Akh Mukhri pada jam 8.00 pagi. Selesai sarapan pagi, para peserta mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan masjid yang mana sedikit sebanyak dapat mencegah jangkitan nyamuk aides dari berleluasa. Kira-kira 8.30 pagi setelah selesai gotong royong, program bersurai dan para peserta mula bergerak pulang ke destinasi masing-masing. Aktiviti ini juga dilihat sedikit sebanyak telah mewujudkan satu jalinan ukhwah diantara Pembina Kedah dan Masjid Al-Muttaqin dan menjadi batu loncatan untuk bekerjasama lagi untuk mengadakan lebih banyak aktiviti-aktiviti yang lain pada masa akan datang dalam membentuk golongan belia muslim yang lebih cemerlang di masa hadapan.
Mahasiswa UUM
11 Aug
Sepetang bersama….

..keceriaan..:-)
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat dan keupayaan yang dianugerahkan buat barisan akhawat yang telah selesai menjayakan aktiviti riadah bersama adik-adik pelajar UUM pada petang jumaat , 7 ogos yang lalu. Program kedua akhawat PEMBINA selepas program ‘pertemuan pertama ‘ itu telah bermula pada jam 5.30 petang bertempat di hadapan bangunan Kolej Perniagaan (COB) UUM. Mengikut perancangan awal yang telah disusun, aktiviti dijadualkan berlangsung di padang bola jaring, Komplek Sukan. Namun, akibat daripada keadaan cuaca yang tidak menentu, kami telah mengambil inisiatif untuk mencari tempat yang lebih sesuai dan selamat sebagai langkah berjaga-jaga.
‘We are The Champion’. Sesuai dengan nama program yang dijalankan kali ini, aktiviti yang dilakukan adalah berbentuk ala ‘explorace’ . sekitar jam 5.40 petang aktiviti dimulakan dengan kata-kata aluan daripada ukhty Maslinah sebagai pembuka kata sekaligus memberi taklimat serta arahan aktiviti yang akan dijalankan. Adik-adik peserta yang seramai 18 orang telah dibahagiakan kepada empat kumpulan. Mereka dikehendaki memilih seorang ketua serta menyediakan nama kumpulan yang akan digunakan sepanjang aktiviti berlangsung. Keceriaan dan kerjasama adalah objektif yang ingin dicapai daripada program tersebut disamping memupuk ukhwah yang erat antara peserta.
Peserta yang telah lengkap dengan ketua dan nama kumpulan yang dipilih sendiri antara ahli perlu melepasi empat halangan sebelum dinobatkan sebagai juara aktiviti pada petang itu. Halangan yang pertama, mereka perlu melengkapi silangkata yang mengandungi soalan-soalan yang agak mencabar minda berkenaan dengan perkembangan tamadun dan sejarah Islam. Masa yang diambil oleh peserta bagi menjawab silangkata tersebut adalah sekitar sepuluh minit bagi setiap kumpulan. Manakala di halangan yang kedua pula, peserta yang berjaya melepasi halangan sebelumnya telah diberi tugasan untuk menyusun surah-surah al-Quran . Keratan-keratan kertas yang ditulis dengan nama surah pelu disusun mengikut susunan yang betul di dalam Al-Quran. Beberapa kumpulan telah melepasi halangan ini dengan mudah sekali kerana ada diantara peserta telah menghafal semua surah mengikut susunan yang betul dengan baik sekali. Masa yang diberikan pada halangan yang kedua ini juga adalah kira-kira lima belas minit.

..tekun berusaha...
Di halangan yang ketiga pula, peserta telah mengukuhkan kerjasama antara ahli kerana mereka diberi tugasan membina bangunan tertinggi dengan menggunakan ‘straw’. Cabaran yang ketiga ini jelas menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi pada setiap ahli kumpulan bagi menyiapkan tugasan tersebut. Kerjasama yang erat serta kreativiti yang ditunjukkan oleh peserta akhirnya kesemua kumpulan berjaya menyiapkan bangunan ‘straw’ dengan pelbagai bentuk dan rupa. Walaupun kesemua kumpulan berjaya menyiapkan tugasan, namun mereka tidak dapat pergi ke halangan seterusnya iaitu halangan terakhir aktiviti program kali ini kerana kesuntukan masa. Oleh itu aktiviti hanya dapat berhenti setakat ini sahaja.
Walaupun aktiviti terpaksa berhenti setakat itu sahaja, namun keceriaan dan keseronokan yang jelas terpamer daripada raut wajah adik-adik peserta membuktikan bahawa objektif program kali ini mencapai matlamatnya. Alhamdulillah. Aktiviti sebegini yang memerlukan banyak kerjasama dan komunikasi yang baik antara ahli telah mengeratkan lagi silaturahim secara tidak langsung kerana setiap kali mereka ingin melepasi setiap halangan aktiviti,mereka perlu menghafal nama serta latar belakang ahli kumpulan. Selain itu juga, kumpulan yang telah selesai menyiapkan tugasan di setiap halangan juga diarahkan menyanyikan beberapa rangkap lagu dari lagu tema kartun ‘wonderpet’ yang telah diubahsuai dan dimasukkan nama kumpulan mereka. Situasi dan tugasan ini telah mewujudkan keceriaan yang luar biasa diantara ahli kumpulan sekaligus mewujudkan keserasian.
Oleh kerana aktiviti tidak dapat dilakukan dengan sempurna, tiada kumpulan yang dapat diisytiharkan sebagai juara. Namun, matlamat serta objektif program dapat dicapai dengan jayanya. Diharap aktiviti kali ini sebagai satu titik permulaan kelangsungan aktiviti-aktiviti dan program yang akan datang. Tahniah buat barisan akhawat PEMBINA atas usaha menjayakan program ini Semoga pertemuan yang singkat mampu mempertautkan lagi hati-hati yang ikhlas bertemu keranaNya. InsyaAllah. Ukhwah dipadu, fikrah disatu.
oleh: Setiausaha PEMBINA Kedah.
7 Jul
Perlantikan Setiausaha Baru
Sukacita dimaklumkan bahawa setiausaha baru bagi PEMBINA Kedah 2009 adalah saudari Noraini Bt Yusof, bekas pelajar UUM yang kini bertugas di Tadika Nursyifa, Changlun. Perlantikan ini dibuat bagi menggantikan saudara Hisham yang memegang jawatan Pengerusi Pembina Kedah yang baru bagi menggantikan pengerusi lama iaitu Dr. Zulkifli Yusof.
Moga terus maju dalam amal
7 Jul
Keprihatinan Yang Menyelamatkan
Pagi tadi, sewaktu aku sedang berjalan menuju ke pejabat, aku terpandang segugus kunci yang tertinggal pada motorsikal, milik pelajar yang tergesa-gesa nak ke kelas mungkin. Langkahku terhenti seketika, ditinggalkan, terasa bersalah pula, lalu aku membuat keputusan untuk mengambilnya dan meninggalkan kunci tersebut di pejabat am bangunan perakaunan. Aku tinggalkan satu notis kepada pemiliknya supaya menuntut kembali kuncinya di pejabat am. Moga kesilapan tersebut tidak akan diulanginya kembali.
Aku teringat minggu lepas sewaktu pulang dari kerja, dari jauh aku melihat seorang penunggang motorsikal jatuh ditengah jalan, namun apa yang menyedihkan, tiada seorang pun yang prihatin dan hanya lalu sambil memandang sahaja.
Ketika aku tiba di tempat kejadian, pemuda arab yang kelihatan kebingungan tadi masih lagi tergamam, aku dengan perlahan-lahan mengangkat dan menyorong motornya ketepi sambil bertanya keadaannya. Mujur luka yang dialami hanya luka-luka kecil sahaja, tetapi kerisauannya adalah pada keadaan motorsikal teman yang dipinjam.Selepas berpesan kepadanya untuk ke klinik berdekatan bagi merawat luka, aku bergegas pulang.
Aku juga tidak ketinggalan menjadi mangsa ketidakprihatinan masyarakat masa kini. Jumaat lalu, ketika pulang dari bermain badminton dengan menaiki basikal, entah bagaimana rantai basikalku tersangkut ditayar. Puas aku cuba untuk mengeluarkannya namun usahaku gagal, akibatnya aku terpaksa mengusung basikal tersebut kerana tayarnya tidak mampu bergerak.
Dalam keadaan panas dan kepenatan, aku mengharapkan agar ada orang yang prihatin untuk menumpangkan aku ke rumah, namun malang, tiada siapa pun lalu lalang di tepi ku yang nampaknya peduli dengan kesulitan yang sedang aku hadapi. Hampir 30 minit aku berjalan dengan mengusung basikal, akhirnya seorang pemuda bermotosikal yang baru pulang memancing menunjukkan keprihatinannya dan menumpangkan aku pulang.
Keprihatinan, walaupun atas perkara-perkara yang kecil dan remeh akan menyelamatkan. Namun apa yang menyedihkan, di zaman yang segalanya serba pantas ini, keprihatinan makin dilupakan, apa yang didahulukan adalah sentiasa pada keperluan dan kehendak diri sendiri. Jika keprihatinan itu dilihat akan mengorbankan kepentingan diri, ia pasti akan dilupakan.
Mana-mana organisasi atau masyarakat yang tiada pada ahli-ahlinya sifat prihatin, maka sudah pastilah kehancuran akan menanti. Jika semua hanya bersikap aku tidak peduli, asalkan selamat diri sendiri, maka tidak seberapa lama selepas itu organisasi itu pasti akan runtuh. Ibarat dalam sebuah pasukan bolasepak, jika semua pemain hendak mencari kemasyhuran diri, walau sehebat mana pemain-pemain dalam pasukan tersebut, ia pasti tidak pergi jauh. Lihat sahaja apa yang terjadi dalam pasukan Real Madrid era galacticos (Zidane, Figo, Carlos, Raul). Tiada satu kejuaraan besar pun yang berjaya dimenangi.
Apa yang lebih malang adalah apabila keprihatinan dilihat sebagai suatu permusuhan dan kesalahan. Binasanya Bani Israel adalah apabila kurangnya sifat prihatin dikalangan ulama’ – ulama’ mereka untuk menegur kemungkaran di dalam masyarakat. Umat Islam juga kehilangan khilafah apabila umat ini telah kehilangan sifat prihatin kepada agama dan tuntutannya.
Pada keprihatinan itu ada punca-punca kebaikan yang menyelamatkan, jika hari ini kita menjadi orang yang prihatin pada manusia lain, di hari akhirat Allah pasti akan membalas keprihatinan itu dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.
Pengerusi Pembina Kedah 2009
7 Jun
Renungan…

“Ayah, buang la lipas tu, Humaira takut…”
“Humaira, lipas tu kan dah mati, bukan dia boleh buat apa dah, lagipun cuba Humaira tengok, sape lagi besar, Humaira ke lipas?”
“Humaira la lagi besar ayah, ayah, Humaira takut, cepatla buang lipas tu….”
Entah kali yang ke berapa telah saya terangkan kepadanya bahawa lipas itu tidak perlu ditakuti, terutamanya apabila telah menjadi mangsa selipar jenis bowling saya, atau mungkin menjadi mangsa semburan Ridsect.
Pernah saya bertanya kepadanya, kenapa dia takutkan lipas, katanya
“Lipas tu kaki dia ada duri ayah, sebab tu la Humaira takut”
Susah juga rasanya nak mendidik anak perempuan yang seorang ini agar lebih berani berhadapan dengan serangga-serangga perosak.
Ketakutan Humaira kepada lipas adalah kerana dia mengenal lipas itu sebagai binatang yang kakinya berduri, lantas ketakutan itu diterjemahkan kepada tindakan yang menjauhkan dirinya dari lipas setiap kali berhadapan dengannya.
Begitu lumrah sifat semulajadi manusia, manusia akan takut kepada apa sahaja yang akan memberi ancaman kepadanya. Ketakutan kepada kamera polis trafik akan menyebabkan pemandu yang memecut laju memperlahankan kenderaan kerana takut disaman.
Ketakutan kepada harimau, menyebabkan manusia menjauhkan diri darinya kerana tidak mahu menjadi lauk harimau tersebut.
Manusia yang takut kepada manusia yang lain, akan menjadi hamba kepada manusia tersebut, kerana takut akan ancaman yang mampu diberikannya.
Islam datang untuk membebaskan manusia dari belenggu ketakutan sesama manusia. Sifat taqwa yang wajib khatib berpesan pada setiap khutbah Jumaat adalah sifat yang akan menjadikan setiap muslim individu yang paling berani berdepan dengan cabaran-cabaran kehidupan.
Muslim yang bertaqwa tidak akan takut kehilangan rezqinya dalam perjuangan, kerana dia faham dan sedar bahawa hanya Allah yang member rezqi, bukannya manusia.
Muslim yang bertaqwa tidak akan takut terhadap ancaman musuh terhadap nyawanya, kerana dia yakin bahawa hanya Allah yang berkuasa menghidup dan mematikan manusia.
Muslim yang penuh dengan sifat takut kepada tuan sekalian alam ini, akan menjadi manusia yang paling berani, bebas dari ketakutan terhadap manusia, jin dan syaitan.
Namun, sifat takut ini tidak datang bergolek, ia perlu ditanam, disemai dan dibajai sepanjang masa. Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik sahabat dengan sifat taqwa. Hasilnya, lahirlah pemuda-pemuda yang mengkagumkan, tidak takut walau kepada kuasa terbesar dunia seperti Rom dan Parsi ketika itu.
Pra syarat kepada sifat taqwa adalah kenal kepada punca ketakutan itu, iaitu Allah yang maha agung. Kenal Allah, adalah kunci kepada sifat taqwa. Beroleh kunci ini, maka pintu taqwa akan mudah untuk dibuka.
Pintu taqwa ini bukanlah seperti pintu biasa, perlu ada cara yang khusus untuk memasukkan kunci dan memutar tombolnya, dan cara ini ditunjukkan oleh utusan kepada pemilik kunci tadi, siapa lagi jika bukan Rasulullah s.a.w.
Kenal Allah, Ikuti Rasulullah itulah hakikat taqwa yang sebenar. Ketakutan yang akan menerbitkan keberanian.
Pengerusi Pembina Kedah 2009




